Rabu, 29 Julai 2015

Aku anak kampung.

        Sebagai mana biasa anak kampung yang sekolah di bandar, aku turun awal sekitar pukul 6.30 pagi menunggu bas awam pertama untuk ke sekolah. Keadaan kampung ketika itu berkabus, sejuk dan beramai-ramai menanti kedatangan bas di hadapan Sekolah Kebangsaan Batu 10, Lekir. Di sekolah inilah aku menghabiskan 6 tahun persekolahan di sekolah rendah. Banyak kenangan pahit manis di sini dan ada yang masih segar dalam ingatan.
        Peristiwa tidak belajar kerana menyaksikan peninju Amarika Syarikat yang beragama Islam bertinju amat segar dalam ingatan. Cikgu Yahya guru Pendidikan Jasmani mengeluarkan televisyen sambil dibantu oleh Cikgu Saari. Sebenarnya tiada apapun yang menarik tentang perlawanan tinju itu, selain nama ahli tin yang  yang mirip benar dengan nama orang Melayu. Aku dan rakan-rakan suka akan situasi itu kerana kami boleh bermain tanpa halangan guru. Permainan guli batu dan gasing pangkah amat popular. Kami bawa ke sekolah, tiada guru yang menghalang. Indah sungguh kenangan itu. Di manakah agaknya rakan-rakan sepermainan aku itu sekarang ini.
       Bas yang dinanti tiba, sarat dengan penumpang awam dan budak-budak sekolah. Mujur amat sekiranya aku mendapat tempat duduk. Bas itu telah mengambil penumpang bermula dari kampung Kayan, Batu 15, Batu 14, kampung aku Batu 10, seterusnya Batu 9 dan Batu 8. Macam sardin dalam tin umpamanya kami dalam bas itu. Bas yang kami naiki itu bas merupakan bas yang paling buruk sekali dalam bas perkhidmatan awam di Sitiawan. Maklumlah Lekir ini merupakan tempat yang terpencil sekali dalam area Sitiawan.
       Satu kenangan yang mencuit hati dalam bas yang ku ingat sehingga kini. Naik seorang lelaki dewasa dari kampung Batu 9. Riuh suaranya menegur kami sambil menasihat supaya belajar bersungguh-sungguh supaya mendapat kerja yang baik dan dapat membeli sebuah motokar serta tidak perlu lagi menaiki bas buruk ini untuk ke pekan Sitiawan. Namun ulasannya yang paling menarik ialah tentang semangat orang Melayu yang bersifat hangat-hangat tahi ayam. Hal ini paling ketara dalam aktiviti pertanian. Menurutnya konsep pertanian orang Melayu ketika itu ialah 'amalan pertanian 3 T'. T yang pertama ialah Tebas. T yang kedua ialah Tanam dan T yang ketiga menurutnya Tinggal. Pada fikiranku, benar juga kata-kata lelaki itu walaupun zahirnya nampak macam kurang sihat mentalnya.
      

Jumaat, 10 Julai 2015

Ramadan Kian di penghujung, satu sketsa

Sudah lama tidak menulis di sini. Bukan tidak mahu, tetapi kesempatan dan idea yang tidak menghampiri. Bahan apa yang mahu ditulis, politk? Amat membosankan, Rasanya ramai yang gila pangkat dan jawatan daripada yang ikhlas berjuang. Slogan yang diguna akhirnya menjadi laba kepada diri dan peribadi. Semuanya berkisar kepada apa yang aku akan dan bakal perolehi.
       
          Dalam purnama Ramadan ini baiklah kita berbicara mengenainya. Bukan kelebihan dan fadilatnya, kita biarkan sahaja pada alim ulama membicarakannya, dan itu memang bidang mereka pun. Kita lihat cebisan-cebisan Ramadan yang kurang disentuh oleh khalayak. Misalnya, tradisi moreh yang kurang meriah dan menarik dewasa ini. Tradisi membawa sendiri kuih yang dibuat sudah hampir tiada sekarang ini. Kuih yang dibeli pun sudah bercorak nasional,Sudah tiada nilai ke negerian, kedaerahan mahupun kekampungan. Masakan tidak, karipap, kuih takung, agar-agar, buah melaka dan popiah memenuhi pasar Ramadan hampir di mana sahaja. Pilihan hampir sudah tidak ada lagi sekarang ini. Hal ini membuatkan kuih moreh semakin tidak dimakan dan memenuhi tong sampah surau serta masjid.

         Begitu juga baju Melayu dan baju Kurung yang sudah ditukar fesyennya. Nilai tradisionalnya sudah diubah, mungkin untuk disesuaikan dengan kemodenan sekarang ini. Namun hal ini boleh diterima, kerana untuk pergi ke peringkal global kita tidak boleh terlalu jumud. Penubahsuaian perlu untuk kelangsungan budaya Melayu yang tak lekang daripada saingan budaya barat, timur serta Arab.
Apapun, diharapkan Raadan ini masih mengekalkan warnanya, walaupun kabut kusam sedang berarak mendung menyelubungi negara ini.

10.05 pagi/Sabtu/11/7/2015