Rabu, 16 Mac 2011

Merapu

Menurut Kamus Dewan merapu membawa maksud melakukan sesuatu sama ada kata-kata atau kelakuan dengan tidak menentu atau merapik. Kesimpulannya, merapu merupakan percakapan atau perbuatan yang dibuat atau diujarkan oleh seseorang tanpa tujuan atau tidak mempunyai hujah atau sandaran bukti percakapan.
           Di negara kita dewasa ini, merapu telah boleh diterima pakai dalam masyarakat. Budaya melepak di kedai kopi sama ada kedai kopi berjenama atau warung pinggir jalan,  maka kita akan dapat lihat budaya merapu ini. Apakah yang dibualkan oleh penghuni kedai kopi ini? Banyak ceritanya adalah cerita merapu. Terlalu banyak isu yang dibincangkan dari agenda lokal hingga ke peringkat global.
          Di peringkat media juga banyak cerita merapu yang dihidangkan untuk pembaca. Meneliti akhbar arus perdana, maka di muka hadapan atau di ruang utama akan ada kisah liwat DSAI. Tidakkah cerita itu merapu, apatah lagi jika ada anak kecil akan bertanya "ayah, apakah liwat?" Tidak adakah kisah utama yang ingin dipaparkan oleh ketua pengarang akhbar berkenaan melainkan cerita merapu itu. Jika benar hendak membasmi liwat dan memartabatkan agama Islam, mengapa tidak digempur bersungguh-sungguh kegiatan liwat di Lorong Haji Taib yang dah terkenal berdekad-dekad lamanya.
        Melihat akhbar  bersaiz kecil pula, akan ada kisah khalwat, rogol, cerai dan bersekedudukan yang akan dipamerkan dengan tujuan untuk melariskan jualan akhbar. Cerita merapu ini lama kelamaan akan menjadikan pembaca ketagih membacanya terutama golongan remaja. Dikhuatiri nanti remaja ini akan berperlakuan seperti yang dilaporkan, hasil nukilan kisah merapu pengarang tersebut.
        Televisyen pula pusat cerita merapu. Lihat sahaja rancangan Melodi, Senario, Raja Lawak, AF, Mentor dan sebagainya, bukankah rancangan ini rancangan merapu yang tiada hala tujuan yang baik untuk penonton yang menontonnya. Sebab itulah orang-orang yang melepak di kedai kopi menjadi perapu hasil didikan media kita itu.
        Parti politik juga merupakan agen perapu yang besar dalam masyarakat. Penyataan yang menyatakan tanpa mereka tiada pembangunan, tanpa mereka tiada kehidupan dan kemajuan merupakan ungkapan merapu bertaraf mega. Sebab itulah menteri akan berjanji macam-macam pada masa PRK, kerana rakyat yang kaki merapu suka mendengar janji-janji perapu ini yang dianggap benar dan bernas sekali.  Memang tidak dapat dinafikan masih ada projek mee segera ini yang dilaksanakan, namun terdapat juga projek yang dijanjikan yang tidak dilaksanakan. Ini menunjukkan PRK tempat perapu untuk merapu dengan  gah sekali.
        Bekas PM tua yang bergelar Tun itu juga semakin kuat merapunya kini. Kita sedia faham, orang yang dilanjutkan usianya biasanya akan berhadapan dengan penyakit nyanyuk. Namun merapu si Tun ini merapu bertaraf 'mega sale'. Menurutnya apa yang berlaku di negara ini sewaktu beliau memerintah bukan dalam kawalannya. Pandangan yang merapu. Takkan seorang ayah yang dianggap baik tidak boleh mengawal tingkah laku akan-anaknya?.
        Namun kenyataan isteri PM berkaitan tsunami di Jepun merupakan kenyataan merapu terhebat dekat ini. Mana tidaknya, apakah kaitan pembangunan di Jepun dengan gempa bumi dan tsunami?. Kita khuatir apakah merapu ini menjadi budaya beliau sekeluarga. Jikalau benar begitu, kita semua berada dalam bahaya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan