Sabtu, 12 Mac 2011

BEKERJA ITU IBADAH

Bekerja bukan hanya keperluan, tapi  kewajipan. Berpahala jika dilakukan, berdosa kalau ditinggalkan. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa seorang lelaki dari kaum Ansar datang menghadap Rasulullah saw dan meminta sesuatu kepada beliau. Rasulullah saw bertanya, “Adakah sesuatu di rumahmu?”

“Ada, ya Rasulullah!” jawabnya, “Saya mempunyai sehelai kain tebal, yang sebahagian kami gunakan untuk selimut dan sebahagian kami jadikan alas tidur. Selain itu, saya juga mempunyai sebuah mangkuk besar yang kami pakai untuk minum.”

“Bawalah ke mari kedua-dua barang itu,” sambung Rasulullah saw. Lelaki itu membawa barang miliknya dan menyerahkannya kepada Rasulullah. Setelah barang diterima, Rasulullah saw segera melelongnya. Kepada para sahabat yang hadir pada saat itu, beliau menawarkan pada siapa yang mahu membeli. Salah seorang sahabat menawar kedua-dua barang itu dengan harga satu dirham. Tetapi Rasulullah menawarkan lagi, barangkali ada yang sanggup membeli lebih dari satu dirham, “Dua atau tiga dirham?” tanya Rasulullah kepada para hadirin sampai dua kali. Inilah lelong pertama kali yang dilakukan Rasulullah.

Tiba-tiba salah seorang sahabat menyahut, “Saya beli keduanya dengan harga dua dirham.”
Rasulullah menyerahkan kedua-dua barang itu kepada si pembeli dan menerima wangnya. Wang itu lalu diserahkan kepada lelaki Ansar tersebut, seraya berkata, “Belikan satu dirham untuk keperluanmu dan satu dirham lagi belikan sebuah kapak dan engkau kembali lagi ke sini.”
Tidak lama kemudian orang tersebut kembali menemui Rasulullah dengan membawa kapak. Rasulullah saw melengkapkan kapak itu dengan membuatkan pemegangnya terlebih dahulu, lantas berkata, “Pergilah mencari kayu api, lalu hasilnya kamu jual di pasar, dan jangan menemui aku sampai dua pekan.”

Lelaki itu taat melaksanakan perintah Rasulullah. Setelah dua pekan berlalu ia menemui Rasulullah melaporkan hasil kerjanya. Lelaki itu menuturkan bahawa selama dua pekan dia berjaya mengumpulkan wang sepuluh dirham dan  sebahagian dibelikan makanan dan pakaian. Mendengar penjelasan lelaki Ansar itu, Rasulullah bersabda, “Pekerjaanmu ini lebih baik bagimu daripada kamu datang sebagai pengemis, yang akan membuat cacat di wajahmu kelak pada hari kiamat.”

Rasulullah saw memberikan pelajaran menarik tentang pentingnya bekerja. Dalam Islam bekerja bukan sekadar memenuhi keperluan perut, tapi juga untuk memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang seharusnya dijunjung tinggi. Kesimpulannya, bekerja dalam Islam dipandang amat mulia. Islam sangat menghargai orang yang bekerja dengan tangannya sendiri. Rasulullah saw pernah ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling baik?” Beliau menjawab, “Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua perniagaan dianggap baik,” (HR Ahmad dan Baihaqi).

Sedemikian tingginya penghargaan itu sehingga orang yang bersungguh-sungguh bekerja disamakan dengan mujahid fi sabilillah. Kerja tidak hanya menghasilkan nafkah material, tapi juga pahala, bahkan maghfirah dari Allah SWT. Rasulullah saw bersabda, “Jika ada seseorang yang keluar dari rumah untuk bekerja bagi menyara kehidupan anaknya yang masih kecil, maka ia telah berusaha di jalan Allah. Jika ia bekerja untuk dirinya sendiri agar tidak sampai meminta-minta pada orang lain, itu pun di jalan Allah. Tetapi jika ia bekerja untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megahan, maka itulah ‘di jalan syaitan atau kerana mengikuti jalan syaitan,” (HR Thabrani).

Kerja juga berkait dengan martabat manusia. Seorang yang telah bekerja dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya akan meningkatkan martabat dan kemuliannya. Sebaliknya, orang yang tidak bekerja alias penganggur, selain kehilangan martabat dan harga diri di hadapan dirinya , juga di hadapan orang lain. Jatuhnya harakat dan harga diri akan menjerumuskan manusia kepada perbuatan hina. Tindakan mengemis, merupakan sesuatu yang hina baik di sisi manusia maupun di sisi Allah SWT. Orang yang meminta-minta bukan sahaja hina di dunia, tapi juga akan dihinakan Allah kelak di akhirat.

Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah, jika seseorang di antara kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu api, kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi keperluanmu, itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain,” (HR Bukhari dan Muslim).

Bekerja juga berkait dengan kesucian jiwa. Orang yang sibuk bekerja tidak akan ada waktu untuk bersantai-santai dan melakukan ghibah serta membincangkan orang lain. Ia akan menggunakan waktunya untuk meningkatkan kualiti kerja dan berusaha.

Begitu pentingnya maksud bekerja, sehingga Islam menetapkannya sebagai suatu kewajipan. Setiap Muslim yang berkemampuan wajib hukumnya bekerja sesuai dengan bakat dan kemampuannya.

Abu Hanifah adalah seorang ulama besar yang sangat dihormati. Ilmunya luas dan muridnya banyak. Di tengah kesibukannya belajar dan mengajar, ia masih dapat meluangkan masa untuk bekerja sehingga tidak jelas apakah ia seorang pedagang yang ulama atau ulama yang berdagang. Baginya, berusaha itu suatu keutamaan. Sedangkan berjuang, belajar dan mengajarkan ilmu itu juga kewajipan.

Tentang nilai usaha ini, Islam tidak hanya bicara mengikut teori semata-mata, tapi juga memberikan contohnya. Rasulullah saw adalah seorang pekerja. Para sahabat yang mengelilingi beliau juga adalah para pekerja. Lapan sahabat Rasulullah saw yang dijamin masuk surga adalah para saudagar yang kaya.

Kenapa orang yang bekerja itu mendapatkan pahala di sisi Allah SWT? Jawapannya mudah, kerana bekerja dalam konsep Islam merupakan kewajipan atau fardhu. Dalam kaedah fiqh, orang yang menjalankan kewajiban akan mendapatkan pahala, sedangkan mereka yang meninggalkannya akan mendapat dosa. Tentang kewajiban bekerja, Rasulullah bersabda, “Mencari rezeki yang halal itu wajib sesudah menunaikan yang fardhu (seperti solat, puasa dan sebagainya),” (HR ath-Thabrani dan al-Baihaqi)

Kerana bekerja merupakan kewajipan, maka tidak hairan jika Umar bin Khaththab pernah menghalau orang yang berada di masjid agar keluar untuk mencari nafkah. Umar tidak suka melihat pada siang hari orang  asyik duduk di masjid, sementara matahari sudah meninggi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan