Khamis, 3 Mac 2011

Didemokrasi, demokrasi dan mendemokrasi

Demokrasi berasal dari Yunani. Namun bukan konsepnya yang ingin dihuraikan, tetapi pengamalannya yang menjadi perhatian. Demokrasi bukanlah wahyu ianya ciptaan manusia, dan semestilah ciptaan manusia itu mempunyai kekurangan di sana sini. Kekurangan ini kadang-kadang diambil kesempatan oleh sesetengah pihak bagi menangguk di air keruh.
          Demokrasi yang menjadi impian haruslah bermatlamatkan keharmonian. Sebagai contoh kawasan Padang telah kematian wakil rakyatnya, maka SPR akan mengumumkan satu PRK akan dilangsungkan. Maka SPR  mengiklankan akan mengadakan PRK  pada masa yang SPR tetapkan. Parti-parti yang akan bertanding akan mengemukakan borang pencalonan dan budget pilihanraya masing-masing. SPR dan SPRM perlu pula melihat budget parti yang akan bertanding ini, sekiranya terlalu tinggi pasti akan wujudnya rasuah atau SPR perlu menetapkan kadar siling budget PRK ini. Pihak yang melanggar peraturan akan dikeluarkan dari pencalonan.SPRM pula perlu melihat dari mana punca budget diperoleh. Jikalau mencurigakan, maka pihak yang terbabit perlu disabitkan kesalahan pecah amanah.
         Pada waktu tempoh berkempen, pihak SPR perlu menetapkan giliran berkempen. Jangan berlaku pertembungan  sewaktu berkempen kerana dikhuatiri akan berlaku unsur-unsur provokasi. Sewaktu berkempen, agensi-agensi kerajaan tidak boleh terbabit dalam mana-mana kempen parti politik. Sekolah jangan dilibatkan langsung, kerana murid-murid sekolah ini murni dan jangan dirosakkan minda mereka dengan janji dan harapan yang belum pasti.Situasi penglibatan agensi kerajaan ini akan menjadikan PRK tidak demokrasi.Parti yang ingkar arahan SPR perlu keluarkan dari pencalonan. Hanya polis, bomba dan pertahanan awam sahaja boleh terbabit, itupun dalam kerangka menjaga keselamatan  dan bukan membantu kempen parti politik tertentu.
        Hanya petugas parti sahaja yang perlu terbabit dalam berkempen. Jika parti timbang yang berkempen hanya pemuda, wanita dan puterinya sahaja yang berkempen. Jangan libatkan kakitanga agensi kerajaan seperti RISDA, Peladang, Agro Bank, Tekun, Felda, Felcra, Polis, Kesihatan, para guru, tentera dan lain-lain agensi. Ini kerana yang inginkan kemenangan ialah parti timbang, jangan didera kakitangan kerajaan supaya hadir menyambut menteri pada hari cuti dari pagi hingga ke petang yang turun berkempen di kampung-kampung dan kawasan Felda. Begitu juga parti lain, hanya petugas parti sahaja yang layak berkempen. Menteri yang datang perlu meninggalkan jawatan menterinya di luar kawasan pilihan raya kerana jawatan menteri bukan hakiki. Mereka hanya menjadi menteri sewaktu parti yang dianggotainya menang pilihanraya, nanti apabila mereka kalah pilihanraya jawatan menteri tersebut akan dipegang oleh orang lain pula. Di dalam kawasan mengundi, menteri tersebut hanya ahli parti yang bertanding sahaja. Bagi pegawai kerajaan jawatan mereka merupakan jawatan hakiki yang tiada sangkut paut dengan mana-mana parti politk. Oleh itu, sewajarnya SPR memandang isu ini dengan minda yang bernas.
        Sewaktu PRK pula bilangan anggota polis janganlah terlalu ramai. Pilihanraya ialah waktu memeriahkan demokrasi. Bilangan polis yang banyak akan menimbulan suasana tegang dan stress di kawasan pilihanraya.Di samping itu, amalan memberi rasuah waktu pilihanraya perlu dipandang serius.Pihak yang menerima tentunya suka dan akan membanding-bandingkan jumlah rasuah yang diperoleh dan dibanding-banding dengan kawan dari parti yang lagi satu. Ini akan mewujudkan jurang perpecahan yang luas dalam kalangan masyarakat. Pihak SPRM perlu menyiasat dari mana punca kewangan, takut-takut nanti ada agensi kerajaan yang akan bankrup akibat PRK.
        Mendemokrasikan pilihanraya memang sukar dilaksanakan kerana kadar buta baca yang tinggi dalam kalangan masyarakat. Tambahan pula rakyat didoktrinkan dengan amalan hanya berterimakasih kepada pihak kerajaan. Masyarakat perlu disedarkan dengan konsep politik dan kerajaan memerintah. Parti politik bukan hakiki tetapi kerajaan  yang hakiki. Kerajaan tidak akan bertukar tetapi parti politik perlu bertukar-tukar demi kelestarian rakyat jelata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan