Rabu, 29 Julai 2015

Aku anak kampung.

        Sebagai mana biasa anak kampung yang sekolah di bandar, aku turun awal sekitar pukul 6.30 pagi menunggu bas awam pertama untuk ke sekolah. Keadaan kampung ketika itu berkabus, sejuk dan beramai-ramai menanti kedatangan bas di hadapan Sekolah Kebangsaan Batu 10, Lekir. Di sekolah inilah aku menghabiskan 6 tahun persekolahan di sekolah rendah. Banyak kenangan pahit manis di sini dan ada yang masih segar dalam ingatan.
        Peristiwa tidak belajar kerana menyaksikan peninju Amarika Syarikat yang beragama Islam bertinju amat segar dalam ingatan. Cikgu Yahya guru Pendidikan Jasmani mengeluarkan televisyen sambil dibantu oleh Cikgu Saari. Sebenarnya tiada apapun yang menarik tentang perlawanan tinju itu, selain nama ahli tin yang  yang mirip benar dengan nama orang Melayu. Aku dan rakan-rakan suka akan situasi itu kerana kami boleh bermain tanpa halangan guru. Permainan guli batu dan gasing pangkah amat popular. Kami bawa ke sekolah, tiada guru yang menghalang. Indah sungguh kenangan itu. Di manakah agaknya rakan-rakan sepermainan aku itu sekarang ini.
       Bas yang dinanti tiba, sarat dengan penumpang awam dan budak-budak sekolah. Mujur amat sekiranya aku mendapat tempat duduk. Bas itu telah mengambil penumpang bermula dari kampung Kayan, Batu 15, Batu 14, kampung aku Batu 10, seterusnya Batu 9 dan Batu 8. Macam sardin dalam tin umpamanya kami dalam bas itu. Bas yang kami naiki itu bas merupakan bas yang paling buruk sekali dalam bas perkhidmatan awam di Sitiawan. Maklumlah Lekir ini merupakan tempat yang terpencil sekali dalam area Sitiawan.
       Satu kenangan yang mencuit hati dalam bas yang ku ingat sehingga kini. Naik seorang lelaki dewasa dari kampung Batu 9. Riuh suaranya menegur kami sambil menasihat supaya belajar bersungguh-sungguh supaya mendapat kerja yang baik dan dapat membeli sebuah motokar serta tidak perlu lagi menaiki bas buruk ini untuk ke pekan Sitiawan. Namun ulasannya yang paling menarik ialah tentang semangat orang Melayu yang bersifat hangat-hangat tahi ayam. Hal ini paling ketara dalam aktiviti pertanian. Menurutnya konsep pertanian orang Melayu ketika itu ialah 'amalan pertanian 3 T'. T yang pertama ialah Tebas. T yang kedua ialah Tanam dan T yang ketiga menurutnya Tinggal. Pada fikiranku, benar juga kata-kata lelaki itu walaupun zahirnya nampak macam kurang sihat mentalnya.
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan