Jumaat, 18 Februari 2011

Dari Masjid Dhirar ke Nasionalisme Islam

"Asas Islam mungkin tidak sama dengan nasionalisme. Penganut-penganut agama lain juga boleh jadi nasionalis. Ini tidak bermakna nasionalis Islam tidak Islam. Nasionalis yang terdiri daripada orang Islam memang berjuang untuk menegakkan agama Islam, memelihara negara Islam dan menjaga kehormatan agama Islam..kata Tun Dr Mahathir.

Saya menjadi keliru dengan kenyataan di atas...yang saya faham tentang Islam...berdasarkan
Firman Allah Surah Al Maidah Ayat 3 (Maksudnya) " Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Ku cukupkan untuk kamu nikmatKu dan telah Aku Redha bagi kamu Islam sebagai Deen Kamu"

Jelas Allah hanya mengiktiraf hanya Islam agama yang benar...timbul kekeliruan sebab ada yang berkata seperti ini...
"Semua agama menyuruh umatnya berbuat baik"
"Perayaan ini (perayaan keagamaan selain Islam ) kita sambut tidak mengira agama dan bangsa"

Firman Allah dalam Surah Ali Imran Ayat 19 (maksudnya) Sesungguhnya Agama ( yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam"
            Mari kita telusuri istilah nasionalis Islam.Pendapat saya cenderung mengatakan  istilah ini amat mengelirukan umat Islam. Islam tidak boleh digandingkan dengan nasionalis. Islam melangkaui sempadan bangsa dan negara. Islam ini sama walau di mana-mana pun samada di Malaysia atau pun di Amarika Syarikat. Kata Nabi tidak ada bezanya antara ajam dan bukan ajam melainkan takwanya. Islam tidak mengira kaya atau miskin, warna kulit, darah dan darjat samada bangsawan atau pun rakyat biasa. Tiada bezanya mungkar dan nangkir antara rakyat dan pemimpin. Tiada bezanya soalan kubur bagi rakyat atau pun raja.
          Di samping itu, Islam bukan nasionalis. Nasionalis juga bukannya Islam. Dalam nasionalis terdapat ajaran membezakan bangsa dan darah tetapi perbezaan manusia dalam Islam dari sudut takwanya.Firman Allah Surah Az Zariat Ayat 56 maksudnya "Aku ciptakan jin dan manusia itu, supaya mereka mengabdikan (memuja) kepada Ku"
          Dari mana pula datangnya istilah nasionalis Islam. Menurut Kamus Dewan: nasionalis bermaksud orang yang mencintai nusa dan bangsanya, pencinta bangsa. Jelas memang tiada kaitan dengan agama.
Islam menurut hadith Nabi Muhammad SAW yang bermaksud " Islam itu bahawa kamu menyaksikan tidak ada Tuhan yang sebenar disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadah dan mengerjakan haji jika berkuasa" Riwayat Muslim. Secara nyatanya memang jelas tiada kaitan dengan nasionalis.
          Maka nasionalis tidak boleh dikaitkan dengan Islam. Islam telah sempurna dan yang menyempurnakan Islam ialah Allah. Islam tidak layak digandingkan dengan ideologi manusia apatah lagi ideologi yang mengelirukan seperti nasionalis, sosiolis, komunis, liberal, sekular, dan banyak lagi isme-isme ciptaan manusia yang jahil tentang Islam. Sekiranya diterima pakai nasionalis Islam maka akan lahir pula komunis Islam, sosialis Islam, sekular Islam dan sebagainya.  Islam telah lengkap dan tidak memerlukan dorongan isme-isme ciptaan manusia sesat ini untuk kemandiriannya,  buktinya Firman Allah SWT dalam Surah  Al Maidah Ayat 3 maksudnya " Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Ku cukupkan untuk kamu nikmatKu dan telah Aku Redha bagi kamu Islam sebagai Deen Kamu"

.          Yang jelas ada yang tidak mahu kembali kepada Islam, maka dicari pula jalan penyelesaian yang lain.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya; kitab Allah dan sunnah Rasulullah SAW"  Riwayat Imam Malik
          Dikaji falsafah-falsafah barat yang beroreatasikan akaliah semata-mata, maka terjumpalah ideologi logik (tanpa merujuk al Quraan dan Hadith) yang kebanyakkan manusia hari ini menganggapnya amat bersesuaian  dengan kehidupan masyarakat moden  pada hari ini yang semakin jauh dari Islam. Diubah suai pula ideologi tersebut agar bersesuai dan seiring istilahnya dengan Islam maka lahirlah Nasionalis Islam. Walhal nasionalis itu tiada kaitan langsung dengan Islam. Islam itu syumul  dan dapat berdiri sendiri tanpa perlu penambahan nasionalis. Perjuangan dalam Islam bukan atas nasionalis, tetapi berpaksikan Islam itu sendiri. Perjuangan yang bukan beralaskan Islam bukanlah perjuangan yang  bermatlamatkan jihat tetapi berobjektifkan kuasa, pengaruh, harta benda dan tuntutan dunia semata-mata. Misalan mudah perjuangan Islam ialah berjihat mengekang hawa nafsu. Contohnya, harta itu penawarnya infak, syahwat itu penawarnya menutup aurat. Sekiranya aurat tidak dijaga usahlah berbicara tentang Islam dan perjuangannya. Orang yang tidak menutup aurat seperti menunggang motorsikal di lebuh raya tanpa memakai topi keledar. Layakkah orang seperti ini berbicara tentang peraturan jalan raya.
          Teliti pula Firman Allah dalam Surah Ali Imran Ayat 85 yang bermaksud " Barangsiapa mengkehendaki selain Islam sebagai Agama (ad Deen) maka tidak akan diterima daripadanya dan di akhirat nanti dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi". Oleh itu, hindarilah daripada mengelirukan orang ramai dengan istilah yang mengelirukan dan kembalilah kepada Al Quran dan sunah Rasulullah.Allah s.w.t. berfirman lagi dalam Al-Quran (Ayat 103, Surah Ali-Imran); "Dan berpeganglah kamu pada tali Allah (Al-Quran) dan janganlah kamu bercerai berai..."

Islam tidak akan sempurna tanpa iman kata Nik Aziz. Saya tahu dan orang UMNO tahu. Tetapi bagaimana Nik Aziz boleh tahu seseorang Islam sempurna imannya atau tidak? Allah s.w.t. tahu tetapi apakah Nik Aziz mempunyai kebolehan seperti Allah Ta'ala...Tun Dr Mahathir.
       Tidak ada manusia biasa yang mampu melihat dalam hati seseorang. Pada zaman sahabat terdapat seorang sahabat yang tahu keiman manusia. Beliau ialah Huzaifah Al Yamman. Jika terdapat kematian sewaktu zaman khalifah Omar, khalifah akan menziarahi mayat dengan berpandukan sama ada Huzaifah pergi atau tidak.Sekiranya Huzaifah tidak pergi menziarahi maka sahlah simati itu munafik atau kafir.
         Tidak semua orang Islam mengetahui dan memahami kesempurnaan iman dalam Islam.Islamnya mereka kerana keturunan atau baka. Iman bukannya sekadar menghafal rukunnya sebaliknya ikrar pelaksanaan keimanan itu yang diambil kira. Iman hanya hadir ketika manusia muslim melakukan kebaikan dan akan menghilang ketika melakukan dosa. Manusia kafir yang melakukan sejuta kebaikan juga tidak beriman kerana tiada ikrar keIslamannya. Masakan orang yang sedang mencuri, rasuah, merompak dan berzina mempunyai iman. Logiknya, sekiranya beriman pasti dosa itu tidak dilakukannya.
         Tahu tentang rukun iman tidak bermakna telah beriman. Iman adalah amal baik yang dikerjakan dan diberi pahala serta ganjarannya syurga. Pendek kata orang yang beriman ialah orang yang beriman dengan ayat-ayat Allah kerana mereka percaya denganNya. Firman Allah Surah Al-Zalzalah Ayat 7/8 maksudnya "Maka sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarrah, nescaya akan dilihat dalam surat amalannya Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihat dalam surat amalannya"
       Orang yang tidak sempurna iman boleh kita ketahui melalui tabiaat dan perbuatannya. Banyak buktinya, lihatlah yang tidak menjaga aurat, minum arak, berjudi, , memusuhi orang alim, berzina atau bermukadimah zina, bukankan perbuatan ini perbuatan orang yang tidak beriman. Keimana akan hilang ketika melakukan dosa .Sebagai contoh perhatikan Firman Allah dalam Surah Al Ahazb Ayat 59 maksudnya " Hendahlah mereka melabuhkan jalbab mereka (golongan wanita) kepada seluruh badan mereka".  Berapa ramai wanita Islam yang ingkar tentang suruhan Allah ini, yang dapat kita perhatikan di sekeliling kita.
        Bukan itu sahaja, pemimpin yang gagal mengekang maksiat yang dilakukan oleh ahli di bawah tanggunggannya juga tidak sempurna imannya.Firman Allah dalam Surat At Tahrim Ayat 6 maksudnya "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu..."
Jelaslah orang yang tidak beriman boleh diketahui secara nyata ataupun maujud berpandukan Ayat-Ayat Allah dan Hadith Nabi SAW.
 Apakah Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah tidak berjasa kepada Islam apabila dia membina Masjid Dhirar? Jika membina sekolah agama tidak bermakna UMNO berjasa kepada Islam, kenapakah saya dikecam apabila peruntukan kepada sekolah agama ditarik balik setelah sekolah dijadikan pusat mengembangkan ideologi PAS untuk membenci UMNO?
     Timbul kekeliruan besar di sini. Abdullah bin Ubay bukankah bapa munafik?. Bukankah orang munafik akan ditempatkan lapisan paling bawah neraka (kerak). Maka di sini di mana baiknya Abdullah bin ubay ini?. Mencari nilai baik bapa munafik ini samalah macam mencari nilai baik yang ada pada iblis dan syaitan. Bukankah Masjid Dhirar ini dirobohkan oleh Nabi kerana menimbulkan perpecahan dan kekeliruan dalam kalangan orang Islam ketika itu. Maka apa maknanya penyataan "Apakah Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah tidak berjasa kepada Islam apabila dia membina Masjid Dhirar?"Besar kekeliruannya di sini.  Membantu pengajian agama itu bukankah bantuan yang baik. Membantu menegakkan agama Allah di muka bumi merupakan tanggungjawab kita sebagai muslim yang patuh. Tolong-menolonglah kamu dalam perkara-perkara kebaikan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara mungkar/maksiat. Dan berkata benarlah walaupun ianya pahit. Apakah berkata benar itu dituduh membenci? Bukankah ini penyataan yang paling mengelirukan.
        

Justeru itu bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihanraya." Tun Dr Mahathir

Kita pulangkan penyataan di atas kepada yang empunya. Jelaslah siapa yang terkeliru dan mengeliru. Islam itu mencakupi keseluruhan kehidupan manusia. Bukankah  Allah telah menurunkan satu kitab yang maha lengkap yang mengandungi hal ehwal ibadat, sosial, psikologi, politik, undang-undang, perniagaan, angkasa lepas dan segalanya. Al Quran bukannya novel yang hanya dibaca pada waktu senggang ataupun buku perundangan manusia yang boleh diubah mengikut selera semasa, ianya merupakan sebuah ketetapan yang perlu diamalkan oleh manusia. Hanya Allah yang tahu penyakit manusia maka selayaknya dialah yang memberi penawar kepada kita. Perhatikan amaran Allah dalam surah al Maidah Ayat 44 maksudnya "Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka orang-orang yang kafir". Sekian, wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan